Rabu, 13 Januari 2016

BATU SIIB TARIKAN PELANCONG

KISAH BATU SI'IB TARIKAN UNIK DI KAMPUNG SELAMPIT.

Kisah ini berlaku sebelum kedatangan Jepun ke Sarawak pada tahun 1940-an apabila perkahwinan antara Jumat Prima Jawa dengan Minah Ajoi tidak direstui oleh adat istiadat kaum Iban/Sebuyau di kawasan Lundu.

Memandangkan perhubungan antara mereka tersebut tidak dipersetujui oleh Tuai Rumah, pasangan ini telah dijatuhkan hukuman.

Mereka berdua diikat dan dimasukan ke dalam kurungan dan kemudian dibuang ke muara sungai di kawasan batu mandi berdekatan Kuala Bandang, dengan harapan mereka berdua akan tenggelam dan mati lemas di situ.

Setelah penduduk kampung yang diarahkan oleh Tuai Rumah untuk membunuh mereka berdua balik dari Kuala Bandang, seluruh penduduk terkejut dan gempar melihat pasangan tersebut masih hidup dan sudah pun berada di rumah panjang. Mereka diikat dan dibuang sekali lagi di tempat yang sama tetapi perkara yang sama telah berlaku. Peristiwa aneh itu membuatkan penduduk berasa takut dan marah. Menyedari bahawa orang kampung marah dan membenci mereka berdua, pasangan tersebut mengambil keputusan untuk pergi jauh meninggalkan kampung halaman mereka selama-lamanya.

Sebelum pergi, Jumat sempat memberitahu dan berpesan bahawa selepas seminggu kepergian mereka nanti, mereka akan dirindui dan dicari oleh semua orang kampung.

"Kalau kamu semua mahu mencari kami berdua, mudiklah semasa air surut ke hulu Sungai Batang Kayan dan lihatlah di sebelah kanan tebing sungai. Di situ ada tanda-tanda, di situ ada pokok-pokok nibong(Palai) dan di situ ada batu panjang, batu bulat dan batu kecil. Kami sekeluarga telah disumpah menjadi batu yang diberi nama Batu Si'ib (Nisit)," pesan Jumat.

Selepas seminggu, setelah Jumat dan isterinya pergi, ahli-ahli keluarganya dan penduduk kampung mudik ke hulu sungai semasa air surut menyusur Sungai Batang Kayan dengan perahu panjang. Setelah beberapa jam berdayung, mereka pun sampai di kawasan Kampung Selampit (sekarang) dan nampak tanda-tanda seperti yang disebut oleh Jumat.

Selepas daripada kejadian itu, masyarakat Iban/Sebuyau dari Lundu mula datang untuk berniat dan membayar niat mereka di sana diiringi dengan paluan gong yang bertalu-talu.

Beberapa tahun kemudian kira-kira pada tahun 1947, seorang Pak Gawai (Pimulang dalam bahasa Jagoi) bermimpi "penunggu Batu Si'ib" mahukan orang Kampung Selampit memelihara dan sentiasa menjaga tempat tersebut demi kebaikan dan keselamatan penduduk kampung.

Kini, Batu Si'ib telah menjadi tanggungjawab kepada semua penduduk Kampung Selampit untuk dijaga dan dipelihara sejarahnya.

Malah setiap 2 Jun, warga kampung akan mengadakan upacara memperingati dengan pelbagai aktiviti seperti persembahan tarian tradisional, pertandingan pakaian tradisional, pertandingan memancing udang, pakaian beragam dan pelbagai lagi aktiviti.

Meskipun penduduk telah berkembang dari segi pendidikan, pembangunan dan sebagainya namun sejarah Batu Si'ib terus dipelihara dan dikekalkan. Malah ia sedikit sebanyak telah menarik kedatangan pengunjung luar untuk sama-sama meraikan Hari Memperingati Batu Si'ib.


Sumber : Utusan Borneo, A1, Ahad, 3 Jun 2012


Tiada ulasan:

Catat Ulasan